BIOGRAFI : STEVE JOBS


( Diambil dan diubahsuai dari Berita Harian )

Pengasas bersama Apple Computer Inc, dan juga pengasas bersama NeXT diambil sebagai anak angkat oleh Paul dan Clara Jobs sebaik dilahirkan. Ketika mudanya, dia menunjukkan minat dengan elektronik dan sambil bersekolah menengah, dia menghadiri ceramah di kilang Hewlett Packard di Palo Alto, California. Dia menghadiri Kolej Reed di Portland, Oregon untuk satu penggal, kemudian meninggalkan kolej untuk terbabit dengan falsafah. Pada 1974, dia bekerja dengan Atari Inc untuk menghasilkan permainan komputer breakout cukup untuk membiayai perjalanannya ke India. Selepas menjelajah India, dia kembali ke California.

Jobs menyertai kumpulan peminat komputer terkenal dengan nama Homebrew Computer Club pada 1975. Seorang genius bernama Stephen Wozniak, daripada kumpulan ini dipelawa oleh Jobs untuk membuka peniagaan. Dengan modal AS$1,300 yang diperolehi dengan menjual bas kecil Volkswagen Jobs dan kalkulator Hewlett-Packard Wozniak, kedua-duanya membentuk dan menghasilkan apa yang dikenali dengan nama komputer Apple I, dinamakan sempena ladang Apple tempat Jobs bekerja ketika cuti musim panas.

Pada 1976, mereka berjaya menjual 600 buah komputer dengan pendapatan kasar sebanyak AS$774,000. Tahun seterusnya mereka menjual model yang disukai ramai, Apple II, sebuah komputer mesra pengguna yang lengkap dengan grafik berwarna. Dalam masa tiga tahun syarikat itu memperolehi pendapatan sebanyak 700 peratus.Apabila syarikat itu disenaraikan pada 1980, harga pasaran pada akhir hari pertama sebanyak AS$29 sesaham, memberikan nilai modal sebanyak AS$1.2 billion, Jobs ketika itu berumur 25 tahun.

Pada 1984, Jobs menubuhkan sebuah syarikat lain, NeXT selepas kerap bertengkar dengan lembaga Pengarah Apple. Komputer pertama NeXT dikeluarkan pada 1989. Walaupun berbentuk cantik dengan drive disk optik, monitor video yang lebih baik, muzik bermutu CD, komputer itu gagal. Pengeluaran dihentikan pada 1993 dan NeXT seterusnya memberikan tumpuan kepada peralatan perisian. Jobs juga memberikan tumpuan kepada sebuah syarikat yang dibelinya daripada pengarah filem terkenal, Geoge Lucas, pada 1986 bernama studio Pixar Animation.

Jobs membuat perjanjian untuk menghasilkan tiga buah filem untuk Disney, yang pertama pada 1995 berjudul Toy Story. Filem ini menjadi box-ofice dan berjaya, dengan pendapatan kasar sebanyak AS$38 juta. Pixar disenaraikan pada 29 November, 1995 dengan harga AS$22 sesaham dan ditutup pada paras AS$39 sesaham membuatkan nilai kekayaan persendirian Jobs sebanyak AS1.17 billion. Tidak lama kemudian, Apple membeli NeXT. Jobs diambil semula selaku penasihat kepada Ketua Eksekutifnya dan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah syarikat. Steve Jobs sekarang memegang jawatan CEO dan baru-baru ni beliau sudah melancarkan Mac OS X ( disebut Mac OS ten ) iaitu versi OS baru untuk komputer Apple.

Copyright © 2004 Projek Dokumentasi Putera.com (PDP). All Rights Reserved. Semua artikel adalah hakcipta kepada penulis sebenar.